Wednesday, September 23, 2009

KELEBIHAN SURAH AL-MULK




Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan
pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang
berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas
menceritakan:

"Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka
sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika
berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah
Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah.
Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian
hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lalu baginda
bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia
menghindar pembacanya dari azab neraka."

Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain.
Di sini penulis bentangkan sebahagian daripadanya sahaja. Diantaranya:

1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: "Sesungguhnya di
dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat
bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi
itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk."

2. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Surah
Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."

3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Aku
sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk
sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."

4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab
kubur."

5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya
surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.

6. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat.
Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk
membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam
Syurga."

7. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang
mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada
orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya
ke dalam Syurga."

8. Ulama berkata: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam
tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al
Mulk."

9. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan
pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat
di hadapan tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari
azab api Neraka."

10. Saiyidina 'Ali berkata: "Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya
dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik
seperti nabi Yusuf."

11. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di
dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya
ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh
semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk."

12. Saiyidina 'Abdullah bin Abbas berkata: "Barangsiapa membaca surah Al
Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan
pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam kuburnya. Bila azab
hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: "Tidak boleh engkau
datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk."
Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana
semuanya mengandungi surah Al Mulk."

-Selamat Beramal- Wassalam

No comments:

Post a Comment