Thursday, September 24, 2009

MENDAULATKAN SUNNAH NABI MUHAMMAD SAW

Semua orang inginkan syurga. Tiada orang yang inginkan neraka. Tetapi ramai yang terkandas di syurga dunia kerana tidak yakin dengan janji Nya. Sedangkan syurga Allah itu yang hakiki. Akhirat itu pasti, namun ramai yang takut mati. Nak masuk syurga Allah bukannya mudah.



Kalau setakat mengharapkan pahala, tak merasalah. Sebab nak masuk syurga ni yang pentingnya rahmat dari Allah. Nak dapatkan rahmat Allah, perlulah ikhlas dalam beribadah. Amalan baik perlulah istiqamah. Seperti mana Rabiatul Adawiyah, seorang wali Allah. Yang berhasrat nak memadam api neraka dan membakar syurga Allah. Kerana risau, manusia tak ikhlas dalam beribadah.



Cuba periksa semula amalan harian kita. Bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Adakah sunnah Rasulullah kita jaga? Inikan tidak, jangankan sunat, yang fardhu pun kadang-kadang kita lupa. Beginikah sikap umat Muhammad? Yang kononnya nak mengharapkan syafaat di hari kiamat. Kalau sunnah pun malas nak buat, jangan mimpilah nak dapat syafaat. Amalan fardhu pun setakat yang sempat. Macammanalah nasib di hari akhirat, hari perhitungan semua umat.



Kalaulah rasa nak selamat, banyak-banyaklah bawa bertaubat. Kerahlah seluruh tulang empat kerat, semata-mata kerana Allah, kita beribadat. Amalan sunat pun, kenalah buat. Barulah menjadi hamba yang taat. Susah sangat ke nak amalkan sunnah? Bangun pagi baca doa, bukannya payah. Mulakan setiap perbuatan baik dengan anggota kanan, perkara mudah. Tetapi kalau makan dengan 3 batang jari, bila nak sudah. Orang lain entah ke mana, kita masih menghadap juadah. Itulah akibat belajar tak sudah. Perkara yang mudah menjadi susah. Setakat suka nak beralasan, baik tak payah!



Gunakan 3 batang jari ni hanya semasa mula menjamah. Selepas itu, nak guna 10 batang jaripun tiada siapa nak marah. Jangan sampai tercekik sudahlah. Nanti diri sendiri juga yang susah. Sama juga ketika nak beradu. Menghadap kiblat dan mengambil wudu’. Sementara mata masih terkebil-kebil, ambillah kesempatan baca 3 Qul. Keberkatan terjamin, syaitan pun tak mengganggu.



Jadikan amalan hingga ke anak cucu. Sunnah nabi banyak sekali. Sunat dan fardhu termasuk sekali. Segenap aspek kehidupan, ia rangkumi. Masuk ke tandas mulakan dengan anggota kiri. Alas kepala jangan dilupai. Walaupun sekadar tangan sendiri. Sengetan badan ke kiri, tanda berhati-hati. Serangan musuh tidak diketahui. Faedah kesihatan turut diperolehi. Diakui sendiri oleh pakar yang mengkaji.



Mulakan amalan dengan Bismillah. Warisan mulia dari Rasulullah. Itulah rahsia seorang hamba Allah. Mengejar keberkatan dan pahala mudah. Syaitan dan iblis juga merasa gundah. Kerana tiada ruang untuk mencelah. Selain sebagai suatu usaha mencegah. Dari melakukan perkara yang tidak berhemah. Iyela! Takkan nak buat maksiat baca Bismillah. Setiap perbuatan akan sentiasa kerana Allah. Barulah hidup mendapat barakah. Apabila hidup sudah terarah. Maka terhindarlah dari keluh dan kesah. Nikmat dunia dinikmati secara berhikmah. Kerana kesedaran ikhlas Lillah. Semuanya hanya kerana kalimat Bismillah.



Nabi menganjurkan berwudu’ sentiasa. Apabila terbatal, ambillah semula. Barulah kehidupan dalam redha-Nya. Wajah juga InsyaAllah akan ceria. Jerawat tak tumbuh, bintik hitam pun tiada. Tak perlulah muka ditampal bahan kimia. Titisan wudu’ membawa bersama. Gugusan dosa kecil yang tak terkira banyaknya. Menyuci titik hitam di dalam jiwa. Yang semakin hari bertambah bilangannya. Ilmu juga mudah diterima.



Apabila jiwa sudah bercahaya. Inilah sebenarnya rahsia ulama nusantara. Contohnya Idris al-Marbawi dan Ibnu Sina. Menghafal ilmu yang tak terkira banyaknya. Menjadi rujukan seluruh dunia. Bermanis muka dan saling memaafi. Warisan mulia para nabi. Berwajah ceria dan senang hati. Hidup terasa bermakna sekali. Sedangkan nabi sedia memaafi. Orang Yahudi yang jahat sekali. Melempar najis dan menyakat nabi. Namun nabi buat tak peduli. Apabila sakit nabi ziarahi. Terasa terharu, mengalir air mata di pipi. Lantas terbuka hati menerima cahaya Illahi. Bertambah seorang lagi umat nabi. Mulia sungguh peribadi nabi. Sehinggakan Yahudi pun terbuka hati. Sedangkan dalam al-Quran turut mengakui,



“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat suri teladan yang paling baik untuk diteladani.” (al-Ahzab 33 : 21)



Tetapi kita tak nak teladani. Artis pujaan juga yang nak dicari. Kononya itulah ‘trend’ masa kini. Manakah pertimbangan ilmu dan iman wahai siswa dan siswi? Semua fakulti tidak terkecuali. Bukankah kita ini sama di sisi Illahi. Hamba Allah dan juga umat nabi. Apabila nak mati baru nak menyesali. Itu bukanlah pegangan umat Islam yang hakiki. Sebaliknya amalan puak munafik yang dilaknati.



Alangkah ruginya kita ini. Jarang sekali mengamalkan sunnah nabi. Umat jenis apakah kita ini? Sedangkan nabi ketika dipanggil Illahi. Tak lekang di mulut menyebut ummati. Pengorbanan baginda besar sekali. Namun kita jarang sekali insafi. Asyik bersuka ria ke sana ke mari. Apakah ini bukti sayangkan nabi?



Marilah bersama kita sematkan. Mendaulatkan sunnah nabi akhir zaman. Di waktu yang sama tak lupakan al-Quran. Selaku rujukan dan juga panduan. Jangan sampai menyesal di hari kemudian. Nak pohon syafaat tapi tidak dilayan. Terkontang kantinglah sendirian. Tanpa arah dan hala tujuan. Akibat tidak hiraukan bimbingan. Suruh amalkan sunnah, banyak pula alasan.



Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment